Ayat

"Dan orang-orang yg beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagi yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang makruf , mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah maha perkasa lagi maha bijaksana."
" Allah menjanjikan kepada org-org yg mukmin lelaki dan perempuan akan mendapat syurga yang dibawahnya mengalir sungai2 kekal mereka didalamnya, dan mendapat tempat2 yg bagus di syurga 'Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar. Itu adalah keberuntungan yang besar"....surah At Taubah. Ayat 71 dan 72

27 June 2010

Program Nisa Kampar


Program Nisa Kampar

Program pada 16 jun 2010 di Kem Hanifa Gopeng. Sasaran peserta remaja perempuan berumur 13 hingga 17 tahun. Alhamdulillah peserta seramai 28 orang. antara aktiviti yang diadakan, tazkirah, minda kreatif, musang berjanggut, boling kelapa dan futsal buta vs celik. program tamat pada jam 5.30 petang.





26 June 2010

Siti Hajar - contoh pengorbanan isteri solehah



Apabila disebut Makkah, seluruh umat Islam terasa teruja dengan kota suci. Sepanjang masa Makkah dirindui oleh seluruh umat Islam, terutama ketika musim haji. Setiap waktu menunaikan sembahyang pula kita terasa begitu hampir dengan kedudukan Makkah yang dijadikan arah kiblat.

Satu perkara lagi yang paling sinonim dengan kota Makkah ialah sejarah mula-mula ia dibuka oleh Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Hajar dan anak mereka Nabi Ismail. Di sebalik kisah pembukaan penempatan Makkah itu terselit pula kisah pengorbanan Siti Hajar. Pengorbanan Siti Hajar sebagai isteri yang solehah amat mengkagumkan dan harus dijadikan contoh kepada semua.

Siti Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim. Perkahwinan itu direstui isteri pertama, Siti Sarah, sebagai satu usaha untuk melahirkan zuriat Nabi Ibrahim yang bakal meneruskan tugas menyebarkan agama Allah. Siti Sarah tidak mampu melahirkan anak disebabkan usianya ketika itu telah mencecah 70 tahun.

Namun, perasaan Siti Sarah berubah menjadi cemburu setelah Siti Hajar mengandung dan mengambil keputusan tidak mahu hidup bersama lagi dengan madunya. Nabi Ibrahim terpaksa mengambil keputusan untuk memisahkan antara kedua isterinya itu untuk mengelak persengketaan. Peristiwa itu sebenarnya menyimpan banyak hikmah yang telah ditentukan oleh Allah. Nabi Ibrahim mendapat wahyu agar membawa Siti Hajar dan anak yang baru dilahirkan, Nabi Ismail, menuju ke satu tempat yang amat jauh dari kampung halaman mereka di Palestin.

Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan Nabi Ismail ke satu lembah yang kering kontang dan tiada penghuni yang kini dikenali Makkah. Kedua beranak itu ditinggalkan dengan hanya sedikit bekalan makanan dan air minuman. Mereka hanya berserah kepada Allah kerana mengetahui tindakan Nabi Ibrahim itu satu perintah daripada Allah.

Siti Hajar menyedari jika itulah perintah daripada Allah, sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang taat. Namun hatinya masih tertanya-tanya hikmah di sebalik perintah Allah itu.

Bayangkan perasaan Siti Hajar ditinggalkan berdua dengan anak yang masih bayi di suatu tempat yang tidak berpenghuni dan kering kontang. Pada siapakah dia harus mendapatkan pertolongan jika berlaku sesuatu perkara yang buruk kepadanya?

Dia juga sering tertanya-tanya sama ada dirinya masih berpeluang menemui suaminya yang tercinta. Sedangkan, dia tahu jarak perjalanan antara Palestin dengan Makkah pada ketika itu mengambil masa kira-kira enam bulan untuk sampai dan terpaksa melalui perjalanan yang sukar.

Siti Hajar memang merupakan wanita terpilih. Zuriatnya melalui Nabi Ismail melahirkan nabi-nabi seterusnya hinggalah Nabi Muhammad. Kecekalan dan perasaan reda berdepan dengan cabaran hidup yang sedemikian tentunya tidak pernah dilalui wanita lain.

Tidak lama selepas tinggal di lembah kontang itu, bekalan makanan dan minuman yang dibawa telah kehabisan. Lebih merungsingkan lagi apabila susu badan Siti Hajar sendiri tidak lagi keluar disebabkan keadaan badannya yang tidak mendapat makanan yang cukup. Nabi Ismail tidak dapat menyusu susu badan ibunya.

Ketika itulah Siti Hajar mula resah. Tidak sanggup mendengar tangisan Nabi Ismail akibat kehausan, Siti Hajar meletakkan Nabi Ismail di satu tempat lalu bingkas bangun mencari ke segenap tempat untuk mendapatkan air.

Siti Hajar mendaki sebuah bukit untuk meninjau dari jauh agar dapat melihat kalau-kalau ada tempat menakungkan air. Dari puncak bukit itu dia melihat dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari sekuat hati ke tempat itu agar cepat dia mendapat air itu bagi diberi minum kepada puteranya.

Namun, setelah sampai di tempat itu, apa yang dilihatnya tadi hanyalah fatamorgana. Dari tempat itu pula dia melihat ada tempat lain seperti ada air bertakung. Lantas dia terus berlari ke tempat itu. Sekali lagi dia kecewa kerana apa yang dilihatnya itu juga fatamorgana.

Tetapi, dilihatnya sekali lagi ada tempat seperti air bertakung. Dia terus berlari tanpa mengenal penat bagi memastikan anaknya dapat minum. Begitu besar sekali pengorbanan seorang ibu. Dia tidak sedar dirinya sendiri semakin lama tidak berdaya lagi untuk bergerak.

Tanpa disedari, Siti Hajar sebenarnya telah berulang alik antara dua bukit iaitu Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk mencari sumber air. Perlakuan Siti Hajar berlari antara Bukit Safa dan Bukit Marwah adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu untuk anaknya.

Sebagai mengingati dan menjadikan kisah ini iktibar untuk seluruh umat Islam, perbuatan Siti Hajar berlari-lari berulang-alik dari Bukit Safar dan Bukit Marwah dizahirkan ketika melakukan ibadat haji.

Berlari atau berjalan bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah berulang alik sebanyak tujuh kali adalah antara Rukun Haji yang menentukan sah atau batal ibadat haji yang dilakukan. Rukun haji itu dipanggil saie yang dilakukan selepas melakukan tawaf.

Kembali kepada kisah Siti Hajar, selepas dirinya tidak lagi berdaya bergerak untuk mencari air, dengan rasa hampa dan memikirkan nasib anaknya yang ditinggalkan seketika itu, dia kembali ke tempat anaknya ditinggalkan.

Nabi Ismail yang kehausan ketika ditinggalkan telah menghentak-hentak kakinya ke bumi. Dengan rahmat Allah, tempat hentakan kaki Nabi Ismail itu terpancut mata air.Melihatkan keadaan itu, Siti Hajar gembira bukan kepalang. Serta merta semangat Siti Hajar kembali pulih. Dia menerpa ke arah mata air yang terpancut itu lalu ditadah dengan tangan terus dititiskan air itu ke mulut Nabi Ismail.

Ketika menadah air itulah terpancul dari mulut Siti Hajar perkataan 'zami, zami, zami yang bermaksud 'berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah'. Dari perkataan itulah lahir perkataan air zam-zam.

Tangisan Nabi Ismail reda setelah hilang hausnya. Dan dapatlah Siti Hajar pula menikmati air itu untuk mengembalikan kekuatan dirinya. Tempat air terpancut keluar itu dibuatkan takungan bagi mengumpul lebih banyak air.

Takungan air yang dibina itu bukan sahaja dijadikan sumber air minum Siti Hajar dan anaknya, tetapi dalam tempoh masa yang singkat dikesan oleh burung-burung yang berterbangan. Berkawan-kawan burung datang dan pergi silih berganti minum dan berehat di kawasan itu.

Pergerakan burung itu kemudian dikesan oleh satu kabilah yang melalui kawasan itu. Mereka dapat mengagak bahawa tempat itu ada sumber air. Lantas, mereka mencari-carinya dan terjumpalah sumber air yang tidak disangka-sangka itu.

Dengan itu Siti Hajar pertama kali dapat menemui orang sejak ditinggalkan suaminya di situ. Ada kabilah menawarkan untuk membawa Siti Hajar meninggalkan tempat itu. Namun, dia tetap setia berpegang kepada perintah suaminya agar tetap tinggal di tempat itu.

Selepas peritiwa itu, kabilah-kabilah telah menjadikan kawasan Makkah sebagai laluan perjalanan untuk mendapatkan bekalan air. Setiap kali air dicedok, air yang keluar semakin banyak. Lebih menakjubkan, rasa dan khasiat air zam-zam amat istimewa berbanding air biasa.

Memandangkan ada bekalan air yang terjamin di situ, ada kabilah yang terus menetap di situ. Mereka yakin tempat itu dipenuhi dengan barakah. Tidak hairanlah jika dalam tempoh masa yang singkat sahaja, bilangan penduduk Makkah bertambah dengan mendadak.

Pengorbanan Siti Hajar wajar dijadikan contoh kepada para wanita dalam menghadapi cabaran hidup. Yang penting jangan mudah merasa kecewa dan hilang keyakinan diri apabila berdepan dengan sesuatu masalah.

23 June 2010

LANGKAH BISTARI ISTERI MITHALI

1. Mainkan setiap peranan isteri dengan seimbang iaitu sebagai isteri, kekasih, kawan, penyokong, perangsang, penasihat, pendengar, pendidik dan pendoa.

2. Sentiasa taat kepada semua suami dalam semua hal yang dibenarkan oleh syarak. Tetapi isteri tidak perlu taat dalam hal yang melibatkan kemungkaran.

3. Layan setiap keperluan suami dengan saksama terutama keperluan seksual. Bagi suami, hubungan seks adalah bukti dan kaedah mengeratkan kasih sayang yang penting.

4. Fahami kerenah suami dan banyak bersabar. Gunakan gerak hati yang sedia ada dalam diri wanita bagi memahami kehendak dan pengharapan suami tanpa perlu disebut.

5. Didik suami berkenaan apa yang anda harapkan secara hikmah. Adakalanya anda kena berpesan kepada suami sehingga 200 kali untuk dia faham dengan jelas. Sabar apabila memberi pesanan kepada suami.

6. Berhias dan pastikan anda sentiasa kemas serta menawan untuk suami. Bincang dengan suami cara penampilan yang dia gemari. Lakukan mengikut kehendaknya.

7. Maafkan suami dan orang lain setiap malam sebelum tidur dan minta maaf daripada suami. Kemaafannya mencuci hati, menyembuhkan sakit, mencantikkan wajah, menarik sayang dan memakbulkan doa.

8. Doakan suami setiap masa. Doa mengeratkan roh anda dengan roh suami. Seterusnya membentuk kasih sayang yang mendalam dan berkekalan.

9. Pastikan anda melebihkan suami daripada ibu bapa ataupun orang lain. Tetapi pastikan anda bersopan santun terhadap ibu bapa supaya mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

10. Berbahagialah apabila melahirkan anak seramai yang munasabah. Asuh dan didik anak sebaik mungkin. Jangan terlalu mengharapkan orang lain mendidik anak anda.

11. Pastikan anda meminta izin suami setiap kali keluar dari rumah ataupun dapatkan keizinan dalam jangka masa panjang. Keluar rumah tanpa izin adalah berdosa.

12. Elakkan daripada menjadi queen control. Nabi menyatakan, suami yang terpaksa taat kepada isterinya akan binasa dan rumahtangga akan musnah.

13. Pandang suami dengan lemah lembut, senyum, kata yang manis, sentuhan, dengar cakapnya dan peluk dia semasa pergi dan balik kerja.
14. Temankan suami makan walaupun anda sudah makan. Ramai suami rasa terbiar apabila terpaksa makan bersendirian selalu. Amalkan makan bersama suami.

15. Sesekali mandi bersama suami. Ini dapat mengeratkan kasih sayang dan keakraban antara suami dan isteri. Mandi bersama adalah sunah.

16. Rawat suami dengan penuh kasih sayang apabila sakit. Sentuhan dan kata-kata manis yang positif bertindak sebagai ubat yang mujarab.

17. Mengalahlah kepada suami bagi perkara yang harus. Suami rasa kecewa dan kurang berwibawa apabila isteri melawan atau enggan patuh arahan. Ini menyebabkan suami stres.

18. Tutup diri anda daripada sebarang lelaki lain. Pastikan anda menutup aurat dengan sempurna untuk kejayaan dunia dan akhirat.

19. Cintai suami sepenuhnya dan senangkan hati suami. Suami anda adalah lelaki terbaik buat anda mengikut perancangan Tuhan. Dan anda adalah wanita terbaik bagi suami anda.

20. Jaga rahsia suami. Ada isteri yang tanpa sedar menceritakan keburukan suami kepada kawan ataupun ahli keluarga lain. Perbuatan ini salah dan berdosa.

21. Tuhan tidak memandang isteri yang tidak berterima kasih atas kebaikan suaminya. Justeru, berterima kasihlah atas kebaikan yang suami lakukan.

22. Kebanyakan penghuni neraka adalah wanita kerana ramai wanita yang menyumpah seranah dan tidak bersyukur kepada suami mereka. Elak daripada khianat atau sabotaj suami.

23. Elakkan daripada menyakiti hati suami dengan bertindak malas, melawan, menghina, komplen, menghambakan suami, sombong ataupun buat perkara yang suami larang.

24. Jangan menerima tetamu yang bukan muhrim semasa suami tiada di rumah. Ini amalan yang bakal menghancurkan rumahtangga.

25. Kejutkan suami untuk sembahyang malam dan isteri juga turut sama melakukan sembahyang malam. Ia adalah amalan yang menarik hidayat dan menerangkan kubur.

26. Dalam kes berpoligami, jangan menyuruh suami menceraikan madu anda. Ini kesalahan yang amat besar. Belajarlah bersabar dan berkongsi dengan aman.

27. Isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang sail, tidak akan masuk syurga. Justeru, jangan meminta cerai apabila tiada alasan yang dibenarkan syarak.
28. Benteng diri daripada gangguan syaitan dengan membaca basmalah, ta'awuz, ayat kursi, sembahyang 5 waktu, sentiasa dalam keadaan berwuduk dan baca Fatihah dengan ayat 3 'Qul'.

29. Kekalkan sifat malu dalam diri wanita. Sifat malu untuk lelaki itu baik. Sifat malu untuk wanita itu sangat baik. Wanita yang hilang sifat malu jatuh martabat dan maruah diri.

30. Apabila suami balik kerja, beri dia rehat 30 minit sebelum bertanya pelbagai soalan. Sampaikan berita yang baik dan kurangkan berita yang buruk.

31. Jadikan Quran sebagai teman dalam menghadapi masalah, gelisah dan sakit. Amalkan juga sembahyang isyrak dan dhuha.

32. Taubat sekarang sebelum terlambat. Pohon maaf daripada suami setiap masa kerana biasanya suami mati dahulu daripada isteri.

33. Jauhi perasaan buruk sangka terhadap suami, mertua, ipar duai, jiran dan orang lain. Apa yang kita sangkakan itu bertindak sebagai doa dan mungkin berlaku.

34. Bersangka baik dengan semua ketentuan Tuhan. Apa yang Tuhan tentukan adalah terbaik untuk kita dan untuk semua orang di sekitar kita. Orang jahil tak nampak hakikat ini.

35. Penuhi semua hak Tuhan. Apa yang Tuhan suruh, lakukan semuanya. Apa yang dilarang jauhi sepenuhnya. Apa yang Tuhan beri kita terima dengan redha dan syukur.

36. Kenal pasti punca yang menyebabkan kita marah. Adakah kita terlalu sensitif, gangguan, tertekan, tidak dihargai, orang ambil hak kita, masalah rumahtangga dan sebagainya. Selepas mengetahui punca, mudah kita mengatasi masalah.

37. Fahami kesan marah. Wajah hodoh, sakit jantung, darah tinggi, selesema, jangkitan virus, tulang rapuh, mati syahwat, hancur rumahtangga. Justeru, kawal marah.

38. Bergaul dengan orang yang baik-baik. Cari kawan baru. Orang yang mempunyai ramai kawan baik tidak gagal di dunia dan akhirat. Bagi mendapatkan kawan baik, jadilah kawan yang baik.

39. Buat undang-undang di rumah. Apabila suami marah, kita diam dan bersabar. Apabila kita marah, suami diam, sabar dan pujuk kita. Mengalah tanda orang yang hebat dan matang.

40. Ubat hati yang berkarat dengan solat taubat, istighfar, baca Quran, sedekah, minta maaf, maafkan semua orang, beri orang makan dan berkawan dengan orang alim ataupun yang baik-baik.
41. Sambut suami setiap masa dengan cara yang menyenangkan. Berhias diri dahulu sebelum membuka pintu menyambut kepulangan suami. Beri air dan picit tengkuk dan bahu suami setiap petang.

42. Suara yang lunak dapat mengubat jiwa dan merawat tekanan yang dihadapi suami. Indahkan dan lembutkan suara setiap kali bercakap dengan suami.

43. Apabila melakukan hubungan seks dengan suami, pamerkan yang terbaik. Seboleh bolehnya penuhi kehendak suami. Suami rasa amat kecewa dan terluka apabila kehendaknya ditolak.

44. Redakan marah suami dengan hikmah. Jangan menjawab walaupun kita betul. Terangkan hal sebenar apabila suami sudah reda. Rumahtangga hancur apabila suami isteri sama-sama ego.

45. Sentiasa muliakan keluarga suami. Layan mereka seperti keluarga sendiri. Apabila kita sayang suami, kita wajib memuliakan orang yang suami kita sayang.

46. Cemburu itu sifat orang yang beriman dan tanda sayang. Tetapi cemburu yang berlebihan buat suami serba-salah dan tertekan. Apabila terasa cemburu terus berdoa supaya Tuhan selamatkan rumahtangga kita.

47. Isteri mithali mengawal diri daripada melakukan sebarang dosa besar. Dosa kecil yang diulang-ulang menjadi dosa besar. Segera bertaubat apabila melakukan dosa.

48. Jangan benarkan kemungkaran berlaku dalam rumahtangga kita. Pesan pada diri dan ahli keluarga supaya menghindari kemungkaran. Apabila melakukan kemungkaran, hidayat Tuhan tidak turun ke rumah kita.

49. Amalan harian terbaik isteri mithali adalah sembahyang taubat, istighfar 70 kali, sembahyang hajat, memaafkan semua orang, bersangka baik kepada semua orang dan doakan keluarga dan semua jiran kita.

50. Seimbangkan hidup dengan membersihkan hati, membetulkan amalan, berkawan dengan orang yang baik, jaga solat, berkatkan rezeki, riadah dan buat semua perkara sebaik mungkin.

Moga-moga menjadi panduan untuk semua muslimat.....Norazimas yusof

Sumber : Portal Komuniti Muslimah

(DERITA) RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN (KRONI) DIUTAMAKAN !


PDF Cetak Emel
Ditulis oleh Ketua Penerangan DMPP
MONDAY, 28 DECEMBER 2009 12:53

Sesekali menulis, kemudian berehat, bukan berehat apa, tetapi melihatkan terlalu banyak peristiwa yang berlaku di dalam Negara Malaysia yang kucintai ini, menjadikan terkedu dan terkesima dibuatnya.
Berbagai desakan dan gesaan yang mengkehendaki kerajaan bersifat lebih telus dan berintegriti memerintah negara, tetapi kerajaan UMNO-BN terus dengan sifat dan corak yang sama sahaja. Senyap dan tuli sahaja, seolah-olah segala kebejatan yang berlaku adalah perkara biasa, yang rakyat harus terima bulat-bulat. Apa nak jadi dengan kerajaan ini ??!!

Apakah kerajaan sekarang ini ada kerja (agenda) lain yang telah menyebukkan mereka? Tidak sempat itu dan tidak sempat ini? Apa tugas mereka sebenarnya? Segala perkara dalam Negara ini tak selesai. Hendakkan rakyat-miskin sifar, tapi GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) akan diperkenalkan. Hendakkan rakyat bekerja keras, yang memiliki gerai-gerai makan kecil disita.

Terlalu banyak perkara yang kerajaan dahulukan untuk rakyat. Biarlah rakyat ini didahulukan. Didahulukan dalam menangani segala kepayahan dan kerumitan, biarlah rakyat yang hidup di bawah tahap kemiskinan merasa betapa peritnya hidup, nak saji makan malam sekeluarga pun berkira-kira nak makan apa. Biar rakyat rasa makanan yang enak bukan untuk mereka, tetapi untuk kaum-kerabat kerajaan yang memerintah.

Biar rakyat dididik bahawa kerajaan dan kaum-kerabat mereka yang memerintah berhak makan di hotel 5 bintang, berhak tinggal di kediaman-kediaman mewah. Biar rakyat tahu bahawa mereka mesti diperah keringat, supaya pihak memerintah dan kaum-kerabat mereka dapat hidup senang dengan memerah dan mencuri keringat rakyat. Rakyat kena kerja siang dan malam. Rakyat kena faham itu semua...kerana hakikatnya, RAKYAT DIDAHULUKAN!

Cuti persekolahan akan berakhir dan anak-anak akan memasuki musim persekolahan tahun 2010. Terlalu banyak wang perbelanjaan yang diperlukan untuk memulakan sekolah. Kalaulah RM100juta ITU (dua buah enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang itu berharga RM50 juta setiap satunya) dapat diagihkan kepada ibu-bapa di seluruh Malaysia di hari pertama persekolahan, pasti semua ibu-bapa merasa bertuahnya mereka menjadi rakyat Malaysia yang dapat mendaftarkan anak-anak masuk ke sekolah, anak-anak dapat belajar dan dapat duit lagi.

Tetapi bukan, jangan mimpi! PENCAPAIAN DIUTAMAKAN! Pencapaian untuk kroni diutamakan.

Dalam isu GST, mengambil contoh syarikat telekomunikasi yang besar, kerajaan masih memberi perlepasan cukai pada beberapa syarikat komunikasi tempatan yang sudah berjaya. Sehingga mereka mampu menawarkan perkhidmatan ke luar negara dan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia. Perlepasan cukai itu menyebabkan syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit mendapat keuntungan besar dan keuntungan besarnya juga adalah kerana tidak membayar cukai. Oleh itu, pencapaian keuntungan besar ini mesti diteruskan.

Tetapi, kerajaan kini kehabisan wang. Yang berpunca daripada ketirisan, rasuah, penyelewengan dan pembaziran wang rakyat kerana melaksanakan projek-projek yang tidak mendatangkan faedah sama-sekali kepada rakyat. Oleh itu, kerajaan yang inovatif terus memikirkan cara untuk mendapat duit, diperkenalkanlah GST: Gagau Semua Tempat, maka rakyatlah menjadi sasaran. Maka GST ini perlulah dikenakan pada rakyat.

RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.

Pemerintahan Islam yang tidak bercanggah dengan mana-mana ideologi, mengkehendaki agar setiap pemerintah mesti menyediakan beberapa perkara asas keperluan rakyat. Ini termasuklan tempat kediaman, pendidikan dan sistem ekonomi yang stabil yang dapat dinikmati oleh rakyat keseluruhannya. Akibat daripada kegagalan menyediakan prasarana ini, rakyat dan Negara tidak berasa aman dan selesa dan menanti untuk melakukan perubahan.

PAS dan rakan PR sebagai Pemimpin Perubahan mesti bersedia mengambil tanggung-jawab perubahan yang dinantikan ini dalam masa terdekat. Ahli dan pemimpin mesti berganding-bahu menunjukkan komitmen dan komited dalam penyaluran hasil-kerja yang berkesan.

PAS terutamanya sebagai ’The King Maker’ dan Muslimat khususnya yang telah membuktikan prestasi memberansangkan dalam banyak kerja-kerja kebajikan akan terus menggandakan tenaga dan menyemarakkan lagi usaha agar semua rumah di Malaysia ini diziarahi oleh Muslimat, samada dalam hal KBSM (perkahwinan, bersalin, sakit dan Kematian) atau MOSWA (orang miskin, OKU, Sakit, Warga Emas dan Armalah).

Insya-Allah Tahun Baru Hijrah 1431H ini, rakyat Malaysia mesti mengajak minda mengorak langkah berhijrah ke arena yang lebih baik. Allah hu Akbar!

HJH SALBIAH ABD WAHAB
Ketua Perangan
Dewan Muslimat PAS Pusat


21 June 2010

Skuad ''Sayang'' nie khas untuk Rakyat Miskin @ Rakyat Miskin BN sahaja..??

Skuad Sayang dicemari agenda melampau Umno

oleh Nur Wani Ahmat

Memetik kenyataan terbaru Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri yang menyarankan agar Skuad Sayang yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 13 Oktober 2009 yang lalu dijadikan platform untuk menangkis fitnah dan tohmahan pembangkang, menunjukkan bahawa BN khususnya Umno masih takut dengan bayang-bayang sendiri untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

Usaha murni Skuad Sayang untuk membantu golongan yang susah dan miskin ini nampaknya telah cuba dicemari dengan agenda politik melampau sehingga lari dari objektif penubuhannya yang sebenar.

Tujuan asal penubuhan Skuad Sayang adalah berkonsep kebajikan, kesukarelawan dan kemasyarakatan sebagai menepati hasrat Umno dan BN untuk memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi dan sebagai usaha untuk membantu orang yang miskin dan susah.

Malangnya apabila ia cuba dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak sihat, objektif dan hasrat murni ini telah diganggu gugat sehingga objektifnya tidak selaras dengan namanya ”sayang”.

Berdasarkan saranan dan kenyataan isteri Perdana Menteri, seolah-olah misi barunya bertindak sebagai agen penerangan dan bukannya sebagai agen kebajikan atau agen kasih sayang BN. Dilihat BN khusnya Umno masih lagi tidak belajar dari kesilapan yang lalu.

Hakikatnya kita sedia maklum bahawa BN telah memegang segenap pelusuk media komunikasi untuk menerangkan dasar dan waktu yang sama menghentam Pakatan Rakyat. Masih tidak cukupkah media penerangan ini sehingga pentas kebajikan pun hendak dipolitikkan oleh BN?

Diharapkan penubuhan dan usaha murni Skuad Sayang yang lebih berbentuk program kebajikan jangan disalahgunakan semata-mata untuk kepentingan politik BN.

Jika wanita BN benar-benar ikhlas untuk membantu rakyat, maka tidak perlulah menggunakan pentas Skuad Sayang untuk menyangkal hujah Pakatan Rakyat dan waktu yang sama menanamkan rasa benci kepada pihak yang lain.

Rakyat Malaysia sekarang lebih bijak menilai mana yang baik dan mana yang buruk sekiranya seseorang pemimpin itu jelas ingin memperjuangan kebajikan dan keadilan untuk rakyat. Tidak perlulah lagi BN menukar objektif dan misi asal Skuad Sayang untuk menghentam Pakatan Rakyat sedangkan di pihak BN sendiri telah ada 1001 saluran media masa yang saban hari memaparkan agenda dan prinsip penjuangan BN.

Adalah lebih baik, jelajah ke seluruh pelusuk negara yang dijalankan oleh wanita BN digunakan untuk mengenalpasti dan membantu rakyat yang memerlukan pertolongan berbanding kepentingan politik semata-mata. Di akhir nanti rakyat Malaysia akan menjadi muak dengan cara BN yang terlalu taksub berpolitik sehingga mengabaikan agenda kebajikan rakyat yang lebih kritikal dan mendesak.....kedah lanie

20 June 2010

Edar Risalah di Pekan Hari Tg. Tualang

 Sebagai pembuka tirai yg sudah lama ditutupi maka cuba untuk membuka kembali tirai yg sudah lama tutup ini bagi merealisasikan dakwah Islam berkembang mengikut suasana zaman yang penuh dengan cabaran. Muslimat Pas Kampar akan bangun menggempur musuh-musuh Allah yang semakin hari semakin jahat dan ganas sehingga melanggar ketetapan Allah, mencetuskan kontroversi, melabelkan Islam sebagai pengganas, maka pada hari ini saya sebagai setiausaha Lujnah Penerangan DMP Kampar bersama dengan Dewan Pemuda Pas Kampar melalui Lujnah Penerangan mereka turun ke Pekan Hari di Tg. Tualang mengedar risalah 'Judi'. Alhamdulillah risalah yg kami edar kan itu mendapat sambutan yang baik dari masyarakat setempat. Tetapi biasalah ada juga masyarakat yang saya rasa beriman dengan media massa seperti RTM dan TV3 dan surat-surat khabar saluran UMNO yg tak dapat menerima isi kandungan risalah yg kami edarkan. Walaubagaimanapun kami mohon pada Allah agar Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada mereka ini. Amin Ya Rabbala'lamin......Norazimas Yusof