“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada ALLAH. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 71)
Allah SWT telah menetapkan di atas bahu kita sebagai salah seorang anggota masyarakat ini, melaksanakan tugas yang mulia iaitu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Seoarang muslimat yang bergelar ISTERI harus memahami keadaannya di dalam masyarakat selaku sebagai seorang yang memikul tanggungjawab bukan sahaja memenuhi hak-hak suami tetapi juga sebagai pendakwah.
Tidak dinafikan, sepertimana yang telah saya jelaskan tentang peranan seorang isteri di atas, itulah tugas utama mereka, namun apabila datang kepada mereka isu mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran, tugas tersebut adalah tugas semua pihak tanpa mengira dia sebagai suami atau isteri. Keadaan umat Islam kini yang semakin lama semakin jauh dari kebenaran, hanyut dengan keindahan dunia, lemas dalam lautan nafsu, maka kepada siapakah harus diserahkan tanggungjawab ini kalau bukan kita?
Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Bazt (Pengarang kitab Wujubu Dakwah Ila Allah wa Akhlaqud Du’at) mengatakan, “Kewajipan dakwah itu menjadi fardhu ain jika engkau berada di suatu tempat yang di sana tidak ada orang yang menunaikannya selain kamu.” Beliau juga menjelaskan, “Di saat sedikitnya da’i, disaat benyaknya kemungkaran, di saat dominannya kebodohan, seperti keadaan kita hari ini, dakwah menjadi fardhu ‘ain atas setiap orang sesuai dengan kemampuannya.”
Bagi saya, kehebatan dan kejayaan dakwah seorang suami adalah apabila dia juga berjaya menjadikan isterinya untuk bersama di jalan dakwah. Melihat kepada fenomena hari ini, kebanyakan para suami ini keliru akan lesen ‘kebenaran’ yang diberikannya kepada isteri. Isteri dibenarkan keluar berkerja sampai separuh hari, isteri dibenarkan tinggal berjauhan untuk tuntutan kerja, namun, apabila isteri ingin mencuri masa beberapa jam untuk duduk bersama dalam program jamaah ataupun paling kurang dalam usrah, si suami seperti kepanasan, tidak sanggup mengambil alih seketika tugas harian isteri di rumah.
“Apabila berlaku pertembungan antara kepentingan akad perkahwinan kita dan urusan dakwah, maka perkahwinan kita akan berakhir, akan tetapi dakwah akan sentiasa berakar umbi di dadaku..Aku mengetahui akan hakmu untuk memerintahku dan adalah tanggungjawabku untuk mematuhimu, tetapi ALLAH SWT di dalam jiwa kita adalah lebih besar dari nyawa kita, dan dakwahnya adalah lebih dekat dengan kita dari diri kita sendiri..”
Ini adalah kata-kata Zainab Al-Ghazali yang saya bacanya di dalam buku tulisannya Hari-Hari Dalam Hidupku. Inilah komitmen seorang muslimah dakwah yang perlu kita contohi. Di mana suami juga perlu sentiasa diingatkan bahawa pertimbangan secara rasional menggunakan iman dan akal perlu dibuat apabila berlakunya pertembungan tugasan muslimat sebagai isterinya dengan muslimat sebagai perawat jiwa masyarakat.
Muslimat dakwah sudah pasti menginginkan pasangannya juga adalah mereka yang berada di jalan dakwah. Maka, pertemuan jodoh di jalan dakwah ini, harus difahami oleh setiap pasangan, bahawa jalan dakwah membawa mereka ke gerbang perkahwinan, dan jalan dakwah ini harus dilalui sekalipun selepas perkahwinan. Beban dakwah ini bukan hanya diberatkan kepada suami, malah isteri juga harus bersama dalam perjuangan dakwah sebagaimana yang dilakukan oleh para isteri Rasulullah, muslimat-muslimat dalam gerakan perjuangan Islam terdahulu. Jalan dakwah ini memberi kefahaman kepada setiap pasangan bahawa pernikahan adalah ibadah, bahawa berkeluarga adalah salah satu tahap dakwah untuk menegakkan khilafah islam di muka bumi ini. Jadi, para ISTERI tidak perlu berdalih lagi, bukakan jalan, jangan sempitkan, teruskan perjuangan. Pilihan di tangan anda. Mahu jadi ISTERI PENDAKWAH ataupun ISTERI DAN PENDAKWAH.
No comments:
Post a Comment